Friday, January 6, 2012

Novel Online Pilihan - Zulaikha - Bab 2

Sambungan Novel Online Pilihan - Zulaikha - Bab 2

Zulaikha tidak jadi meneruskan perjalanannya ke pintu keluar.  Sebelum sempat dilihat oleh kedua-dua pengawal tersebut, Zulaikha mengalih arah ke sebuah kedai pakaian yang terletak bertentangan dengan pintu keluar Terminal One.  Cepat-cepat, dia menyusup masuk dan berdiri di sebalik rak-rak pakaian yang tingginya separas dengan kepalanya. Zulaikha berpura-pura memilih pakaian sambil memerhati gerak-geri pengawal tersebut.


Sangkaan Zulaikha ternyata tidak meleset.  Kedua-dua pengawal itu kini berdiri di ambang pintu keluar dan mula memeriksa beg setiap orang yang keluar dari Terminal One. Zulaikha semakin cemas. Dia memandang ke segenap kawasan sekitar kedai pakaian itu dan ternampak beberapa rak pakaian yang lebih terlindung dari pandangan luar.  Dia bersembunyi di belakang salah sebuah rak tersebut.  Dalam waktu yang sama, dua orang jurujual sedang berbual-bual di kaunter bayaran tidak jauh dari rak pakaian.

"Mira, aku lihat engkau nampak resah sahaja sejak kebelakangan ni?  Mak kau sakit lagi ke?" tanya jurujual bernama Emi. 


"Taklah Emi.  Mak aku dah baik dah.  Tapi aku ada masalah lain pula nampaknya.  Hish... pening kepala aku memikirkannya.  Dah berapa malam aku tak tidur dibuatnya," jawab Mira iaitu jurujual yang seorang lagi.

"Ha... kalau dah tidur tak lena... mesti mandi pun tak basah.  Ni dah tentu masalah cinta ni.  Apalah kau ni Mira... aku kan ada?  Apa gunanya kawan kalau aku tak boleh berkongsi masalah dengan kau?  Hish... engkau ni..." leter Emi.


"Yalah... aku tengah beritahu engkaulah ni.  Bukannya aku nak berahsia pun.. alah.. kau dengar ni.  Harun, budak pengawal tu, dia M.I.N.A.T. kat aku.  Hii... tak taulah aku nak cakap macam mana.  Bengang ada.. geram pun ada.  Takkan kau tak perasan kot.. yang dia datang sini mengendeng-ngendeng, mengusya-usya aku tu... kan?  Kau tau tak apa dia cakap?  Dia cakap dia tak sabar nak kahwin dengan aku.  Angin tak ada, ribut lagilah jauh sekali... alih-alih ajak aku kahwin?  Masalahnya aku tak tau macam mana nak terus-terang.  Dibuatnya Harun tu jenis yang tak boleh terima kalau orang reject, tak pasal-pasal karang hidup aku pulak yang merana.. yalah.. manalah tau zaman sekarang ni kan orang sikit-sikit je berbomoh-bomoh.  Ngeri aku.." terang Mira.


"Oh.. ye ke?  Aku tak menyangkalah pulak sampai gitu sekali daring budak Harun tu.  Tapi.. kau jangan risau.  Alah.. benda ni taklah sesusah yang kau sangka.  Macam nilah.  Aku rasa yang terbaik buat masa ni ialah kau luahkan perkara yang sebenar pada dia.  Aku tau kau takut nanti dia ingat kau sombong ke.. apa ke.. kan?  Tapi... kau kena beranilah.  Daripada kau simpan je nanti lagi teruk sebab Harun tentu fikir yang kau pun ada perasaan kat dia juga.. yang lebih parah lagi dibuatnya dia dah ada persiapan nak kahwin dengan kau.. hii.. ni bukan benda main-main.  Kau fikirlah sendiri.  Aku cadangkan kau bagitau je.  Senang.  Hati pun lega.  Kalau kau pandai ayat dia baik punya.. dah tentu dia takkan datang lagi kacau kau kat sini," usul Emi panjang lebar.


"Ya tak ya juga, kan?  Hai.. geliga juga otak kau ni Emi.  Oklah.. aku pun setujulah.  Aku pun tak nak dia datang sini kacau-kacau kita lagi.  Serabut kepala otak aku dibuatnya.  Harun ni macam tak ada benda lain nak buat.  Oklah.. nanti aku fikirkan macam mana aku nak ayat dia.  Harap-harap dalam dua tiga hari ni aku dapat settle semua sekali," jawab Emi.


Dari belakang rak pakaian Zulaikha mendengar semua perbualan dua orang jurujual itu. Dari situ, terbit buah fikiran yang mungkin dapat membantunya dalam situasi yang tegang itu. Di dalam mindanya dia merangka apa yang patut dilakukannya agar dia dapat membolosi  Terminal One bersama-sama rantai tangan idamannya itu tanpa disedari oleh pengawal keselamatan yang sedang memeriksa beg setiap orang di ambang pintu keluar.

Novel Online Pilihan - Zulaikha - Bab 1

Tajuk Novel Online Pilihan kali ini :  Zulaikha (Bab 1)

Zulaikha memerhati gerak-geri jurujual di kedai emas itu.  Setelah dia benar-benar pasti yang jurujual itu tidak menyedari kehadirannya, Zulaikha menumpukan perhatian terhadap perkara yang ingin dilakukannya.  Rantai tangan emas 916, dua puluh empat karat itu benar-benar menarik perhatiannya.  Tanpa berlengah Zulaikha menyeluk tangannya ke dalam bekas kaca yang mempamerkan barang kemas lantas mencekup rantai tangan tersebut.  Dengan pantas tangannya membuka zip beg yang tersandang di bahu.  Disusurnya rantai tangan ke dalam mulut beg sandang yang terbuka, lalu rantai itu pun tenggelam ke dasar.  Zip ditutup dan beg disandang semula ke belakang.

Riak wajah Zulaikha yang pada awalnya cemas mula berubah menjadi tenang.  Separuh daripada usahanya telah pun berjaya.  Pun begitu, Zulaikha tahu dia harus berhati-hati selagi dirinya masih berada di dalam pusat beli-belah Terminal One, Seremban.  Zulaikha mempamerkan wajah yang selamba dan memerhati gelagat jurujual kedai emas yang masih tidak perasan tentang apa yang telah berlaku.  Dengan berwaspada, Zulaikha mengatur langkah keluar dari kedai emas.  Dia merasakan bunyi tapak kasutnya bagaikan gegaran langkah gergasi yang menghentak ke bumi, terlalu kuat dan membingitkan telinga.  Debaran jantungnya pula seolah-oleh bom nuklear yang meledak berulang-ulang menerjah pancainderanya yang masih siuman.


Zulaikha meneruskan langkahnya menuju ke pintu keluar Terminal One. Namun, lututnya tiba-tiba longlai. Di sebelah kiri, ada dua orang pengawal keselamatan sedang bertugas.  Salah seorang daripada mereka sedang berkomunikasi melalui radio telefon.  Pengawal itu mengangguk-angguk kepala sambil tangannya mengisyaratkan panggilan kepada rakan setugas.  Mereka kelihatan berbincang sesama sendiri dan riak wajah mereka nampak serius.  Hal yang berlaku di depan matanya itu membuatkan denyutan jantung Zulaikha terhenti seketika.  Nalurinya terdetik mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

- Novel Online Pilihan bertajuk Zulaikha akan bersambung pada post yang seterusnya..